fb fb fb fb fb

Pelajar terjejas banjir di Kelantan dibenarkan berpakaian biasa esok - JPN

Antara kanak-kanak yang terjejas akibat banjir di Kelantan beberapa hari lalu/FOTO Fail BERNAMA

KOTA BHARU, 1 Januari - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan membenarkan pelajar sekolah di negeri itu yang terjejas akibat banjir baru-baru ini untuk hadir berpakaian biasa apabila sesi persekolahan bermula esok.

Pengarah JPN Kelantan Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata kelonggaran itu diberikan hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan semula.

"Setakat ini kita beri kelonggaran kepada pelajar yang terkesan banjir untuk mereka berpakaian biasa ke sekolah mulai esok, tak ada masalah.

"JPN Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) insya-Allah akan cuba usahakan juga untuk cari dana atau sumbangan sekiranya dapat untuk membantu pelajar-pelajar yang terjejas itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zamri berkata semua sekolah di Kelantan yang terjejas akibat banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan dibuka esok

"Esok, semua sekolah akan dibuka seperti biasa, tak ada masalah kerana pihak pentadbiran sekolah telah bergotong-royong sejak semalam dan hari ini untuk membuat kerja-kerja pembersihan," katanya.

Mengulas mengenai Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh di Rantau Panjang dan SK Kedai Tanjong di Pasir Mas yang masih menjadi PPS, Zamri berkata arahan telah diberikan sekiranya perlu, sebahagian sesi persekolahan akan dibuat secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Kedua-dua sekolah itu juga akan dibuka esok, malah guru-guru akan datang bertugas seperti biasa.

"Cuma kita serahkan kepada pihak sekolah untuk melihat keadaan sekiranya perlu untuk memberi ruang kepada mangsa banjir yang menghuni PPS, sebahagian murid akan masuk kelas dan sebahagian lagi akan berada di rumah meneruskan sesi pembelajaran secara PdPR," katanya. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN