MARAN, 1 Januari- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang serta Penghulu Mukim Luit menyerahkan bantuan bekalan makanan kepada 25 keluarga dari Kampung Orang Asli Embus di Maran hari ini.
Menurut Pegawai APM Daerah Maran Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Yusof, Kampung Embus terputus hubungan sejak Rabu lalu akibat limpahan anak Sungai Embus di jalan utama kampung terbabit.
"Sungai terbabit menerima air dari Sungai Mentenang, Maran hingga menyebabkan jalan utama kampung terbabit tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
"Tanah di jalan utama terbabit juga mendap dan meruntuhkan struktur jalan itu selain menyebabkan penduduk tidak dapat keluar melalui laluan tersebut untuk mendapatkan barang keperluan," katanya.
Bantuan di kampung itu melibatkan dua buah kenderaan pacuan empat roda.