ALOR SETAR, 1 Januari- Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Kedah sedia digerakkan dan sentiasa dalam keadaan bersedia jika diperlukan untuk memberi bantuan ke Pantai Timur dalam misi pasca banjir.
Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, sebanyak tiga Pasukan Respon Bencana Sokongan atau PARAS APM akan digerakkan sekiranya diarahkan pada bila-bila masa.
APM Kedah turut bersiap siaga bagi menghadapi banjir sekiranya taburan hujan di negeri itu meningkat walaupun Kedah bukan negeri berisiko dilanda banjir ketika ini.
"Yang terjejas teruk di Kelantan yang mana pada ketika ini sehingga pukul 8.00 pagi tiga daerah Tumpat, Pasir Mas dan Kuala Krai 11 pusat pemindahan sementara (PPS).
"APM negeri Kedah akan tertumpu ke negeri Kelantan sekiranya dipanggil untuk beri bantuan," katanya dalam sidang media pada Program Derma Darah Perdana peringkat APM Kedah di sini.
PARAS terdiri daripada 15 pegawai dan anggota selain dilengkapi sebuah lori, kenderaan pacuan 4 roda, bot penyelamat dan 40 buah jaket keselamatan bagi setiap pasukan.
APM Kedah sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga sentiasa bekerjasama erat dengan Jawatankuasa pengurusan bencana Pusat yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Program disertai 200 pegawai dan anggota dengan kerjasama Pusat Tabung darah Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar sempena tahun baharu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat amalan mulia menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa.