PUTRAJAYA, 26 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya bagi melaksanakan audit keselamatan di sekolah serta asrama, dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, berkata langkah itu antara inisiatif memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan, susulan insiden membabitkan pelajar di sekolah dan asrama.
“Dapatan audit keselamatan hendaklah dilaporkan kepada saya setiap minggu untuk dibawa kepada Menteri. Dari situ, kita akan perincikan dan melihat tindakan sewajarnya yang perlu diambil.
“Inisiatif ini penting kerana kita mahu menilai secara menyeluruh, bukan hanya dari satu aspek. Dengan usaha ini, insya-Allah, kita dapat memperkukuh keselamatan di sekolah dan asrama, khususnya melibatkan anak-anak kita serta seluruh warga sekolah,” katanya pada sidang media khas di KPM, hari ini.
Sidang media khas itu diadakan susulan insiden seorang pelajar Tingkatan Tiga dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, awal pagi tadi.
Remaja lelaki berusia 15 tahun itu dilaporkan masih tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan, dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.