fb fb fb fb fb

Satu lagi kematian akibat Rabies di Sarawak, jumlah kes cecah 85 orang

Mangsa mempunyai sejarah digigit anjing terbiar

KUCHING, 26 Ogos – Sarawak merekodkan satu lagi kes kematian akibat rabies dalam kalangan manusia, melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia enam tahun yang tinggal di sebuah ladang di Bintulu.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Veronica Lugah, dalam satu kenyataan media berkata mangsa mula mengalami sakit kepala, demam, sakit leher dan hilang selera makan pada 31 Julai lalu.

“Pada 3 Ogos, mangsa dimasukkan ke Hospital Bintulu selepas menunjukkan gejala halusinasi, hydrophobia, aerophobia dan hypersalivation, sebelum meninggal dunia pada hari berikutnya,” katanya.

Hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai sejarah digigit anjing terbiar di luar kawasan rumah pada pertengahan Julai. Anjing tersebut telah ditangkap dan ujian makmal oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mengesahkan ia positif rabies.

Sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017, jumlah kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia kini meningkat kepada 85 kes, dengan 78 daripadanya berakhir dengan kematian.

HASRON BIN HASSAN