BUSAN, 26 Ogos - Kerjasama Awam-Swasta menjadi pemacu utama dalam memperkukuh pelaburan tenaga bersih, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata Malaysia kini menyaksikan penglibatan kukuh sektor swasta dalam projek solar berskala besar.
Pelaburan itu termasuk pembangunan storan bateri serta pendigitalan grid, hasil dasar telus dan rangka kerja pasaran yang kondusif.
"Yang penting ialah kerjasama antara kerajaan, pihak swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi kewangan yang perlu membiayai pembangunan dan penyelidikan dengan kos yang berdaya maju," katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Bersih ke-16 (CEM16) dan Mesyuarat Inovasi Misi ke-10 (MI-10) di BEXCO, di sini hari ini.
Fadillah berkata Malaysia mengalu-alukan Agenda Tindakan CEM-MI yang dilancarkan di Brazil tahun lalu sebagai kerangka penting untuk menggerakkan tindakan kolektif dan mempercepatkan pelaburan dalam infrastruktur tenaga bersih.
Menurutnya, dialog seumpama itu menjadi platform penting untuk mengenal pasti pemangkin, mengatasi halangan serta menggalakkan pendekatan praktikal dalam pelaburan tenaga.
“Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan usaha penyahkarbonan sistem tenaga, malah membuka ruang kepada pembangunan industri baharu, memperkukuh keselamatan tenaga dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh ekonomi,” katanya.
Terdahulu, Fadillah turut mengadakan lawatan kerja ke Korea Hydro & Nuclear Power (KHNP) bagi meninjau teknologi keselamatan nuklear terkini.
Ini sekali gus membuka ruang meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga nuklear sebagai salah satu sumber rendah karbon bagi menyokong peralihan tenaga negara.