SINTOK, 16 Oktober- “Sejak serangan bom oleh rejim Zionis di Gaza meletus, hampir setiap jam saya menghubungi keluarga di Palestin untuk bertanyakan perkembangan mereka,” kata Hamza Nasri M Alifranji, 19, salah seorang warga Palestin yang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Penuntut jurusan Perakaunan itu berkata adakalanya dia terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan maklumat perkembangan semasa ahli keluarganya di Rimal.
Menurut Hamza, dia juga terpaksa mendapatkan bantuan rakan-rakan di sana (Palestin) bagi menghubungi keluarganya semata-mata untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.
Hamza berkata, setiap hari dia memikirkan keadaan keluarga dan bersyukur sehingga kini ibu bapa dan adik-beradik lain selamat meskipun mereka kini terpaksa berlindung di kawasan parkir kerana bimbang akan keselamatan diri.
“Sekarang arahan dikeluarkan supaya penduduk Gaza mengosongkan kediaman masing-masing tetapi keluarga saya tidak berpindah kerana mereka tidak mahu Nakba dan insya-Allah mereka akan hidup.
“Saya berdoa kemelut atau perang yang melanda ini akan berakhir dan rakyat Palestin selamat. Saya juga berharap kami dapat membina semula Palestin dan dapat tinggal bersama keluarga masing-masing tanpa sebarang tekanan, ketakutan kerisauan", katanya yang telah menyaksikan konflik Palestin-Israel meletus sejak berusia empat tahun.
Israel pernah menyerang Rimal dalam perang terakhir di Gaza pada 2021, bagaimanapun serangan kali ini lebih buruk serta merosakkan banyak harta benda.
Berbicara tentang impiannya selepas tamat pengajian,Hamza berkata, selepas dia ingin kembali ke Palestin dan berbakti kepada rakyat di sana dengan menjadi tenaga pengajar bagi berkongsi ilmu dan pengalamannya selama berada di UUM.
“Saya berterima kasih kepada rakyat di negara ini yang sangat baik.
"Saya menganggap Malaysia sebagai ‘rumah’ kedua kerana berasa seperti berada di tanahair sendiri,” ujar anak kepada pasangan suami isteri, Nasri M Alifranji, 55, seorang doktor gigi, dan Rima Alrayes, 49, surirumah.
Sementara itu, seorang lagi pelajar dari Palestin, Islam Mohammed Hashim Alhadmi, 21, pelajar Sarjana Muda Keusahawanan turut pernah melalui situasi sama akibat peperangan.
Anak muda dari Hebron itu berkata, tentera Israel pernah memecah masuk kediaman mereka pada waktu malam dan merosakkan harta benda di dalamnya.
“Kami melalui situasi yang berbeza berbanding dengan penduduk di Gaza kerana kawasan didiami berhampiran dengan peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di mana mereka boleh memasuki mana-mana rumah pada bila-bila masa walaupun pada waktu malam.
“Mereka juga pernah memusnahkan kereta abang saya, namun tiada apa mampu dilakukan ketika itu kerana kami tidak mempunyai kekuatan untuk menghalang tindakan mereka,” ujar anak kedua dari empat beradik itu.
Islam berkata, dia pernah terputus hubungan dengan keluarga, bagaimanapun dimaklumkan mereka dalam keadaan baik malah ibu bapanya meminta dia menjaga diri sepanjang berada di Malaysia.
Pelajar Semester 5 itu turut melahirkan kesedihan apabila mengetahui ada antara rakan dan jiran yang terkorban dalam peperangan tersebut.
“Saya harap Palestin akan bebas dan kami dapat menjalani kehidupan sebagai orang biasa, hidup tanpa gangguan dari orang asing dan mendapatkan kembali tanah serta rumah yang dimiliki nenek moyang,” katanya.
(Pelajar warga Palestin, Islam Mohammed Hashim Alhadmi, 21)