fb fb fb fb fb

Pegawai 7 universiti di Australia sertai program 'Australian Familiarization Visit' di UPSI

18 September- Program 'Australian Familiarization Visit' merupakan langkah yang signifikan untuk memperkukuh hubungan pendidikan serta budaya antara Malaysia dan Australia.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata program tersebut melibatkan pegawai dari tujuh buah universiti di Australia.

Beliau berkata universiti terlibat ialah University of Queensland, University of Tasmania, Queensland University of Technology, La Trobe University, Edith Cowan University, University of Canberra dan University of Southern Queensland.

Beliau meluangkan masa beramah mesra bersama delegasi Australia di Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Dalam ucapannya, Prof Datuk Dr Md Amin mengucapkan terima kasih kepada universiti-universiti terlibat atas komitmen mereka dalam memperkukuh ikatan pengantarabangsaan pelajar diantara UPSI dan Australia.

“Saya menganggap kerjasama ini penting sebagai perkongsian dalam mempersiapkan pelajar untuk berjaya di pentas dunia global,” katanya.

Katanya, pendidikan tidak mengenal sempadan dan kerjasama dengan universiti-universiti Australia membuktikan tanda komitmen bersama UPSI untuk memberikan pengalaman pendidikan global yang baik kepada pelajar.

“Kami menantikan kerjasama yang lebih lanjut yang akan memperkayakan kehidupan pelajar dan memperkukuh ikatan antara dua negara ini,” katanya.


(Delegasi universiti Australia turut menyertai aktiviti water rafting)

Menurutnya usaha kerjasama tersebut adalah bukti keperluan program pengantarabangsaan dan mobiliti pelajar diantara kedua-dua negara menyertai pelbagai program 'edutourism' yang terdapat di UPSI seperti aktiviti white water rafting di Sungai Bernam anjuran Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan.

Sementara itu, Pegawai Konsulat Education Malaysia Sydney, Hawa Othman berkata delegasi Australia teruja dan gembira apabila disajikan dengan kuih ondeh-ondeh selain berpeluang mempelajari cara pembuatannya.

Katanya, delegasi Australia juga teruja apabila dipersembahkan dengan persembahan muzik tradisional, wayang kulit dan pameran ukiran kraftangan tradisional Melayu, malah berpeluang mencuba sendiri alat muzik tradisional Melayu yang disediakan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi International Mobility Centre (IMC) dan The Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU) bertindak sebagai hos menjayakan program 'Australian Familiarization Visit' dalam usaha memperkukuhkan kerjasama dalam pengantarabangsaan pelajar.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama dengan Education Malaysia Australia (EMA) di Sydney dan Education Malaysia Global Services (EMGS).


Media Baharu