SELAYANG, 18 September- Sejumlah 2,481 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menengah yang mempunyai koperasi diseru menyokong perniagaan serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurut Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, ia dapat menjamin kebajikan anak-anak menerusi keuntungan jualan yang diperoleh.
"Sebenarnya koperasi sekolah banyak menyumbang terutama sekali dalam aspek kebajikan. Kita tahu zakat koperasi sekolah kadang-kadang disalurkan kepada pelajar yang tidak berkemampuan. Jadi, ada juga yuran-yuran yang ditaja oleh koperasi sekolah kepada pelajar yang menghadapi masalah.
Maka, untuk meningkatkan peranan koperasi sekolah agar mereka dapat memberi sumbangan yang lebih besar, kita harap supaya PIBG dapat menyokong aktiviti perniagaan koperasi melalui pembelian keperluan harian yang dijual di koperasi sekolah," kata Fattah kepada pemberita selepas merasmikan Hari Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Bharu Berhad Tahun 2023, di sini.
Ujarnya, ANGKASA komited memberi sokongan kepada badan-badan koperasi dalam meningkatkan perniagaan mereka sekali gus menggalakkan aktiviti keusahawanan.
(Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA),
Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah)