fb fb fb fb fb

Pekerja p-hailing perlu carum SKSPS sebelum dapat lesen

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Semua pemandu dan penunggang p-hailing akan diwajibkan mencarum dengan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata caruman berkenaan akan dijadikan sebagai prasyarat untuk mereka mendapatkan lesen vokasional yang bakal diwajibkan.

Katanya, kerajaan komited memastikan pekerja p-hailing mempunyai sistem jaringan keselamatan sosial bagi melindungi mereka apabila berlakunya kemalangan.

(Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong)

"Sebenarnya kita telah pun mula mensyaratkan kepada semua syarikat iaitu mengenakan caruman RM13.10 untuk Perkeso dan dengan duit ini, RM157 setahun kerajaan bayar 80 peratus sebagai permulaan, 20 peratus ditanggung oleh pihak penunggang p-hailing dan ini yang kita lakukan,"katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) yang bertanyakan sama ada langkah kerajaan mewajibkan pekerja p-hailing memiliki lesen vokasional akan memberi nilai tambah kepada golongan berkenaan.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022 serta dua lagi RUU lain berkaitan kawal selia komuniti p-hailing.

Dua RUU lain yang diluluskan itu adalah RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022.

Tiga RUU yang dibentang itu adalah bagi memberi punca kuasa kepada Kementerian Pengangkutan mengawal selia komuniti p-hailing.

Media Baharu