fb fb fb fb fb

Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana sebagai persiapan menghadapi banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya perhatian diberikan terhadap proses pengagihan bantuan kepada rakyat yang terjejas jika berlaku bencana.

Katanya, Seri Paduka bertitah demikian pada sesi sembah taklimat cuaca dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini.

(Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man)

"Tuanku menekankan soal sistem amaran awal dan kita sembah maklum bahawa KASA telah menambahkan fasiliti amaran awal seperti siren dan kemudahan lain terutama kawasan 'hotspot'.

"Tuanku juga titahkan pelarasan dari segi bantuan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan agensi lain bagi mengelakkan kekeliruan di samping bantuan sampai kepada mangsa," katanya selepas sesi sembah taklimat itu yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Khairy berkata KKM turut mempersembahkan persiapan serta penempatan petugas kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta perancangan sekiranya fasiliti kesihatan awam turut dilanda banjir.

 

Berita BerkaitanAgong dengar sendiri taklimat MetMalaysia mengenai ramalan cuaca negara

Media Baharu