fb fb fb fb fb

Pekerja GIG perlu diiktiraf

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Golongan pekerja GIG perlu mendapat pengiktirafan sepertimana yang telah dilaksana di kebanyakan negara lain.

Keperluan itu bagi membolehkan kumpulan berkenaan menyertai kesatuan sekerja sekaligus menerima manfaat sewajarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika menyuarakan cadangan itu berkata, pengiktirafan berkenaan membolehkan mereka menyertai mana-mana kesatuan sekerja, atau menubuhkan kesatuan sekerja bagi pekerja-pekerja GIG.

"Sepatutnya pada saya, kita harus memberi pembelaan kepada golongan ini untuk diiktiraf sebagai pekerja yang telah menyumbang kepada pembangunan dalam negara kita.

Sekaligus mereka sendiri boleh menyertai mana-mana kesatuan sekerja atau mereka boleh menubuhkan kesatuan sekerja pekerja-pekerja GIG, sama ada dalam konteks pekerja penghantar makanan, semuanya mereka boleh tubuh apabila mereka diiktiraf sebagai pekerja di bawah akta kerja yang ada di dalam negara," katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

(Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena)

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengharapkan Kementerian Sumber Manusia berupaya memberi penerangan yang lebih jelas kepada kesatuan sekerja berkaitan perlembagaan kesatuan yang telah dipinda.

"Bila berlakunya pindaan tentang perlembagaan kesatuan, kementerian jangan bersegan-silu untuk memastikan bahawa kesatuan-kesatuan itu diberi penerangan," ujarnya.

Kementerian juga menurut beliau perlu lebih proaktif dalam menyebarluaskan penerangan kepada semua kesatuan sekerja bagi membolehkan mereka mengetahui hak masing-masing.

Media Baharu