KUANTAN, 10 November - Kerajaan Negeri Pahang mengagihkan 41,729 pek makanan sedia dimakan ke stor bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di 11 daerah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir di negeri itu.
Makanan yang dibungkus menggunakan teknologi retort itu merupakan kesinambungan langkah sama yang dilakukan pada musim banjir sebelum ini di seluruh negara.
Pengarah JKM Pahang, Siti Nor Hasma Mat Isa berkata pek makanan tersebut akan diedarkan terlebih dahulu sebelum penyediaan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) tersebut diselaraskan oleh JKM.
"Sebenarnya retort ini memang kita sediakan sebagai 'first meal' maksudnya untuk permulaan sampai kepada PPS itu, kita beri makanan ini yang kita katakan bantuan awal makanan, sedikit sebanyak membantu penduduk terjejas," kata Siti Nor Hasma kepada pemberita di Depoh Simpanan Keperluan Bencana, Kompleks Penyayang, di sini.
Tambahnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 manakala kerajaan persekutuan RM450,000 bagi penyediaan makanan sedia dimakan itu untuk diagihkan kepada penduduk terjejas banjir yang melibatkan penyediaan tiga menu iaitu nasi beriani, nasi lemak dan nasi minyak.
Untuk tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM7.8 juta dan menyediakan 856 PPS sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok hingga Mac tahun depan.