fb fb fb fb fb

Pegawai kanan MBI Kedah antara ditahan kes rasuah RM13 juta

(FOTO SPRM)

KUALA LUMPUR, 19 Julai- Seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta dan salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Laporan BERNAMA yang memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebut, suspek berusia 63 dan 40 tahun ditahan semalam di sekitar Alor Setar, Kedah dan ibu negara.

Mereka direman tiga hari hingga Jumaat ini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Alor Setar dan Majistret Norsyakirah Che Hashim di Shah Alam.

Menurut sumber berkenaan, syarikat terbabit dipercayai telah menjalankan aktiviti perlombongan itu secara haram sejak 2020 dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.

"Siasatan yang dijalankan berjaya mengesan beberapa pembayaran disyaki rasuah berjumlah lebih RM13 juta yang diberikan oleh syarikat terbabit sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan itu dalam tempoh 2020 hingga 2023," katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata syarikat milik wanita itu juga dipercayai telah mendapat kelulusan sejak 2016 bagi menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah dengan menanam semula pokok-pokok getah klon balak.

“Selain itu, syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan REE dalam kompartmen sama pada 2020,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh kerajaan negeri berhubung permohonan syarikat tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 17 serta Seksyen 23 Akta SPRM 2009. -BERNAMA.

(Pegawai kanan MBI Kedah antara ditahan kes rasuah RM13 juta)

Media Baharu