AYER KEROH, 2 September- Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) bukan sahaja berperanan menyediakan kemudahan capaian internet kepada masyarakat, namun ia juga perlu menjadi medan untuk memberi kesedaran mengenai penipuan dalam talian atau jenayah “scammer”.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, PEDi diberi tanggungjawab ini memandangkan ia antara pusat sehenti yang dekat dengan masyarakat.
Justeru jelasnya, adalah penting untuk PEDi sentiasa peka dan cakna mengenai langkah dilaksana Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bersama CyberSecurity Malaysia dalam menangani jenayah penipuan itu.
"Program 'Outreach' adalah salah satu program yang paling dekat sekali dengan komuniti. Aspek keselamatan siber ini kena buat banyak di pelbagai tahap antaranya sekolah, agensi dan jabatan kerajaan dan sebagainya. PEDi adalah antara yang terdekat dengan pengguna maka PEDi kena bawa tanggungjawab untuk meningkatkan kempen kesedaran anti CyberSecurity , 'scammer' serta sebagainya," kata Annuar kepada pemberita RTM selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 30 Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Melaka, di sini.
Tambah beliau, pihaknya maklum dengan kebimbangan orang ramai terhadap isu jenayah ‘scammer’ yang semakin berleluasa.
Untuk itu, beberapa langkah keselamatan sedang dirangka K-KOMM bersama Cyber Security Malaysia serta agensi berkaitan bagi menangani jenayah ini.
Bagaimanapun jelasnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk sentiasa ambil tahu mengenai jenayah ini dan tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan sindiket.
(MenKOMM, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan watikah pelantikan kepada 30 pengerusi PEDi Melaka)