fb fb fb fb fb

Peñico: Bandar purba Peru ungkap sejarah Pra-Inca

Foto Instagram Mayitoallende

LIMA, 4 Julai– Sekumpulan ahli arkeologi telah menemui sebuah bandar purba berusia 3,500 tahun di Peru.

Bandar tersebut dipercayai menjadi pusat perdagangan antara masyarakat di kawasan sekitar.

Rakaman dron menunjukkan kawasan tengah bandar ini mempunyai bangunan bulat di atas bukit. Ia dibina kira-kira 600 meter dari paras laut, menggunakan batu dan lumpur.

Bandar berkenaan dinamakan Peñico, terletak di wilayah Barranca di utara Peru, dan dibina antara tahun 1800 hingga 1500 Sebelum Masihi.

Ia berdekatan dengan tapak tamadun Caral, tamadun tertua di benua Amerika yang wujud 5,000 tahun lalu.

Tamadun Caral dianggap sama hebat dengan tamadun Mesir, India, Sumeria dan China, tetapi ia berkembang secara terpencil.

Ahli arkeologi Ruth Shady berkata Peñico penting kerana ia muncul selepas tamadun Caral musnah akibat perubahan iklim.

“Tempat ini sangat sesuai untuk perdagangan dengan masyarakat dari pantai, kawasan tinggi dan hutan,” katanya.

Ahli arkeologi Marco Machacuay pula berkata bandar ini adalah kesinambungan tamadun Caral.

Selepas lapan tahun mengkaji, mereka menemui 18 struktur termasuk kuil dan rumah.

Di dataran utama, ada ukiran pada dinding dan gambar alat muzik pututu iaitu sejenis trompet siput laut.

Mereka juga menjumpai arca tanah liat berbentuk manusia dan haiwan, barang upacara, serta rantai manik dan cengkerang laut.

Peru terkenal dengan sejarah purba seperti Machu Picchu dan Garisan Nazca.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD