KUALA LUMPUR, 4 Julai- Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula dilaksanakan 1 Julai lalu bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya disasarkan kepada golongan yang berkemampuan dan syarikat berpendapatan tinggi.
Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Mohd Edil Abd Sukor berkata tanggapan negatif masyarakat terhadap SST perlu dibetulkan dan memberi kefahaman tepat mengenai pelaksanaan cukai itu.
“Kerajaan tidak laksanakan SST secara menyeluruh ke atas semua barang dan perkhidmatan. Barangan keperluan asas seperti gula dan tepung tidak dikenakan cukai, begitu juga dengan perkhidmatan pendidikan untuk rakyat Malaysia,” kata Profesor Madya Dr. Mohd Edil, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas muncul sebagai tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Menurut beliau, SST merupakan salah satu bentuk cukai tidak langsung yang penting untuk menjana pendapatan negara bagi membiayai pelbagai perkhidmatan awam termasuk kesihatan dan pendidikan.
"Kerajaan perlu mendapatkan sumber untuk berbelanja. Jika tiada sumber, kerajaan tidak mampu untuk memberikan perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan lain-lain kepada masyarakat dengan baik," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa cukai tersebut hanya dikenakan kepada perkhidmatan seperti rawatan di hospital swasta berpendapatan tinggi serta sekolah dan institusi swasta yang menjana keuntungan besar.
"SST bersasar ini tidak dikenakan ke atas kedai-kedai kecil atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang baru hendak bertapak. Kita faham bahawa cukai ini lebih seimbang dan adil kerana penjanaan hasil tidak dikenakan secara menyeluruh ke atas semua barangan dan jualan. Sebaliknya, ia disasarkan kepada barangan mewah serta perkhidmatan yang hanya mampu ditawarkan oleh golongan yang berkemampuan dari segi kewangan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat berkaitan SST, sebaliknya mendapatkan penjelasan daripada sumber rasmi.