fb fb fb fb fb

PBT diarah pantau tapak peranginan negeri masing-masing

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarah untuk memantau dan mempertingkatkan keselamatan di tapak-tapak peranginan di negeri masing-masing.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jabatan Metereologi Malaysia memaklumkan mengenai Monsun Timur Laut 2022/2023 dan hujan berterusan dijangka akan berlaku di pantai timur semenanjung dan timur Sabah bermula pada Sabtu lalu.

"Dewan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga cucunda Nur Hilwa Edrea Binti Mohd Hariz Zaifan berusia 1 tahun 3 bulan dari Terengganu yang merupakan mangsa Monsun Timur Laut.

"Semua pihak perlu berwaspada dan mengelakkan pergi ke kawasan berisiko tinggi ketika musim tengkujuh dan monsun," jelasnya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat.

(Anwar Ibrahim)

Selain itu, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada individu dan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali.

Hampir 700 anggota daripada 16 agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh itu sebaik sahaja pos kawalan dibuka hingga hari ini.

Justeru, dewan rakyat turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penyelamat terlibat.

Perdana Menteri juga menyembah takzim Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan berangkat meninjau pusat operasi semalam.

Beliau juga berterima kasih kepada Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dan semua yang telah turun padang memberikan khidmat kepada seluruh operasi.

Terdahulu Anwar mengumumkan bantuan segera kepada mangsa iaitu sebanyak RM1,000 kepada semua mangsa yang terselamat dan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Media Baharu