fb fb fb fb fb

Kedah tutup semua Taman Eko-Rimba, kecuali yang diswastakan

ALOR SETAR, 19 Disember- Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengambil keputusan untuk menutup sementara semua Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri dan kawasan pendakian dalam Hutan Simpan Kekal bermula semalam sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ia bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku berikutan musim tengkujuh yang bermula pada pertengahan bulan Oktober sehingga akhir bulan Januari terutamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Pengarah Perhutanan negeri Kedah, Muhamad Abdullah berkata, "kawasan yang ditutup di bawah pengurusan JPNK ialah di Taman Eko Rimba, Bukit Wang, daerah Kubang Pasu; Puncak Janing, daerah Padang Terap; Sungai Teroi, daerah Yan; Lata Mengkuang, daerah Sik; Sungai Rambai, daerah Pendang dan Tupah, daerah Kuala Muda.

Selain itu; "Taman Eko-Rimba Bukit Hijau, daerah Baling; Lata Bayu, daerah Baling; dan Ulu Paip, daerah Kulim dan Taman Negeri Ulu Muda."

(Foto hiasan)

Sebanyak 15 kawasan pendakian ditutup sementara bagi sebarang aktiviti pendakian.

Kawasan terlibat ialah Gunung Jerai, Gunung Kemerlong, Bukit Perak, Bukit Enggang, Bukit Saiong, Gunung Bintang, Bukit Besar Kulim, Bukit Batu Merah, Bukit Fakir Terbang dan Bukit Air Terjun Lebai Husin.

Bukit Kilim, Gunung Matchinchang, Bukit Selat Panchor, Gunung Raya dan Bukit Batu Licin di Pulau Tuba turut ditutup.

Bagaimanapun, penutupan sementara ini tidak termasuk Taman Eko Rimba yang telah diswastakan kepada operator yang dilantik kerajaan negeri Kedah.

Antaranya Taman Eko Rimba Pasir Tengkorak, Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Tasik Dayang Bunting, Gua Cherita di Langkawi.

Media Baharu