fb fb fb fb fb

PBT di Melaka diarah siap siaga hadapi bencana banjir

MELAKA, 27 Oktober- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka diarah bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir di kawasan masing-masing, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, segala proses pembersihan khasnya membabitkan sistem peparitan dan saliran air hujan perlu diurus dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan bencana berkenaan berlaku.


(Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali)

Katanya, empat PBT terlibat ialah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) harus merealisasi usaha ini, dan semua pihak perlu memainkan peranan termasuk Ahli Majis.

Ahli majis memainkan peranan penting dalam menjaga, mengemaskini dan melaporkan sebarang permasalahan yang timbul di kawasan masing-masing untuk proses penyelenggaraan.

"Kita dengan kerjasama ahli majlis tengok sekiranya kalau ada kawasan atau saliran di bawah majlis perbandaran Alor Gajah, mereka akan melaporkan kepada pihak pengurusan dan pihak pengurusan akan memperbaiki maknanya ahli-ahli majlis yang ada di majlis, mereka menjaga zon-zon yang telah pun dikenalpasti perbandaran, mewakili kawasan tertentu..Jadi di kawasan tertentu, mereka yang akan memaklumkan kepada YDP jika ada kawasan yang tidak diselenggara atau pecah dan sebagainya, mereka harus maklumkan itu tugas ahli majlis" katanya, selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang baharu di Bandar Alor Gajah.

Sementara itu, Sulaiman yakin dengan bangunan baharu pejabat MPAG ini akan mampu menarik lebih banyak pelabur ke daerah tersebut. Katanya, pejabat yang menelan kos RM28.5 juta itu siap sepenuhnya pada April 2021 dan menempatkan 342 kakitangan PBT berkenaan yang seterusnya menjadi mercu tanda daerah ini.

Sulaiman turut menyeru jabatan di peringkat negeri dan daerah mengembleng tenaga dan sumber bagi membantu PBT dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Media Baharu