fb fb fb fb fb

PBSL: Hampir 100 banduan dijangka terlibat di Kelantan

Pengarah Jabatan Penjara Kelantan, Mat Yaacob (tengah) pada program pengagihan bubur lambuk di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

KOTA BHARU, 21 Mac- Hampir 100 banduan dari Jabatan Penjara Kelantan dijangka terlibat dalam Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) menjelang Syawal pertama.

Pengarahnya, Mat Yaacob berkata, sekiranya memperolehi lesen atau kelulusan banduan tersebut akan dibebaskan beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata, program PBSL merupakan program di bawah kerajaan MADANI yang dilaksana secara berskala besar.

"Untuk prospek terlibat PBSL sempena musim perayaan dan permohonan itu sedang dalam proses.

"Sekiranya diluluskan, prospek akan dilepaskan secara parol dan jumlah prospek yang terlibat juga meningkat ke satu angka besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pengagihan bubur lambuk anjuran Holiday Villa Hotel & Suites di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kesesakan dalam penjara, Mat berkata pihaknya mempunyai strategi bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Kami ada strategi untuk mengawal kesesakan ini antaranya memindahkan prospek-prospek dari penjara-penjara di Kelantan ke penjara di negeri lain.

"Kesesakan di penjara merupakan satu masalah dan dapat diatasi menggunakan strategi berkenaan," katanya sambil menambah prospek di seluruh penjara Kelantan terdapat lebih 6,000.

ZEHRA BINTI ZAMBRI