fb fb fb fb fb

PBMy jadi platform utama lahir generasi celik demokrasi

Tan Sri Dr Johari Abdul hadir pada Jerayawara Program Parlimen Belia Malaysia "Suara Belia, Suara Demokrasi" di Dewan Kuliah Pusat Lama Universiti Malaysia Sabah / BERNAMA

KOTA KINABALU, 23 November - Parlimen komited memperkukuh Program Parlimen Belia Malaysia (PBMy) sebagai platform utama melahirkan generasi celik demokrasi dan menjadikan Parlimen sebagai sekolah demokrasi negara.

Menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, PBMy berkembang pesat sejak penubuhannya pada 2015 dengan beberapa reformasi ketara, termasuk pertambahan Ahli Parlimen Belia daripada 100 kepada 222 orang, mencerminkan komposisi sebenar Dewan Rakyat.

Beliau berkata, penambahbaikan ini juga melibatkan sistem pemilihan dan penubuhan parti politik di kalangan pelajar bagi memberikan pendedahan awal mengenai rangkaian dan proses di Parlimen.

"Kita menghidangkan cara pemilihan yang agak berbeza walaupun sebelum ini dilakukan dengan cara lain. Penubuhan parti-parti politik di kalangan pelajar bukanlah perkara baru kerana universiti sudah ada program sendiri. Namun, dengan penambahbaikan ini, Parlimen Belia dapat memberikan pendedahan awal mengenai rangkaian dan proses yang sedang dilaksanakan di Parlimen," jelasnya.

Beliau ditemui media selepas Sesi Jerayawara Parlimen Belia Malaysia: Suara Belia, Suara Demokrasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.

Tan Sri Dr Johari menegaskan PBMy bukan program terasing, sebaliknya merupakan sebahagian daripada rangkaian pendidikan demokrasi termasuk Sekolah Parlimen dan penyertaan belia dalam PLKN 3.0.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE