KUALA LUMPUR, 23 November - Semua pihak diseru memainkan peranan dalam melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak.
Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelaksanaan amat penting bagi memastikan kanak-kanak membesar dengan baik, sekali gus memenuhi potensi diri mereka demi masa depan bersama.
“Kita perlukan kerjasama semua pihak. Setiap inisiatif perlu benar-benar berkesan. Sebarang aduan mengenai penganiayaan kanak-kanak harus disalurkan melalui saluran sah dan tidak diabaikan. Anak-anak adalah masa depan negara, generasi pewaris yang akan membina masa depan,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Datuk Seri Dr Wan Azizah memaklumkan sebanyak RM9 juta diperuntukkan bagi program pembangunan kanak-kanak serta sokongan sosial setempat.
Beliau turut menjelaskan pelbagai inisiatif telah dirangka untuk memastikan kebajikan kanak-kanak terus terpelihara.
Antaranya, pelaksanaan mahkamah bergerak khas kanak-kanak, mempercepatkan pengurusan kes di mahkamah, melindungi identiti dan emosi kanak-kanak mangsa jenayah serta memperkasa bahagian siasatan seksual wanita dan kanak-kanak.