fb fb fb fb fb

PBAKL 2025: 22 naskhah baharu terbitan Hal Ehwal Agama dilancar

FOTO Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Sebanyak 22 naskhah baharu terbitan agensi-agensi Hal Ehwal Agama dilancarkan di Pavilion al-Falah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pendekatan menempatkan semua agensi dan terbitan buku dalam satu platform memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat dengan lebih jelas mengenai fungsi dan peranan setiap agensi agama.

“Jadi, Alhamdulillah pada tahun ini ada kelainan sedikit. Semua ketua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri wujudkan satu pavilion yang kita namakan Pavilion al-Falah. Dengan adanya Pavilion al-Falah ini, kita dapat kumpulkan semua terbitan-terbitan buku di satu tempat.

"Selain daripada buku-buku yang dipamerkan, agensi-agensi mengambil peluang untuk pelawat-pelawat yang berkunjung supaya lebih dekat mengetahui fungsi dan peranan agensi-agensi agama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pavilion al-Falah dan melancarkan 22 buku baharu terbitan agensi-agensi Hal Ehwal Agama di PBAKL 2025.

Antara agensi yang terlibat dalam penerbitan itu ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan beberapa lagi.

Beliau berharap inisiatif itu dapat meningkatkan pengetahuan orang ramai, selain membantu membina masyarakat MADANI yang berilmu dan berbudi pekerti.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE