fb fb fb fb fb

Laporan lengkap insiden letupan Putra Heights dijangka siap akhir Jun

FOTO FAIL BERNAMA

SEPANG, 27 Mei- Laporan penuh siasatan insiden letupan di Putra Heights dijangka akan siap pada akhir Jun ini, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Menurut beliau, laporan tersebut akan disediakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bersama hasil siasatan polis bagi memberikan gambaran yang menyeluruh mengenai punca kejadian.

“Siasatan polis telah selesai. Kami telah bantu JKKP, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas, untuk mengeluarkan lima spesimen paip dari lokasi bagi analisis lanjut,” katanya selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Tambahnya, kerja-kerja pemulihan di lokasi insiden kini dijalankan oleh Petronas dengan pematuhan penuh langkah keselamatan bagi memastikan keselamatan awam.

Beliau menjelaskan, pihak JKKP dan Jabatan Mineral dan Geosains juga telah selesai mengambil sampel yang diperlukan dari lokasi kejadian, yang kini telah diserahkan sepenuhnya kepada Petronas bagi proses pemulihan.

“Kita menunggu hasil analisis makmal oleh JKKP yang menggunakan pelbagai teknik ke atas spesimen paip tersebut. Saya difahamkan laporan penuh dijangka dikeluarkan pada penghujung Jun,” katanya lagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE