ALOR SETAR, 27 Mei- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah kini memberi tumpuan terhadap premis kitar semula e-waste yang beroperasi secara haram di negeri itu.
Setakat ini, beberapa premis telah dikenal pasti dan tindakan undang-undang sedang diambil.
Menurut Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang berkuat kuasa sejak 7 Julai tahun lalu, membolehkan hukuman lebih berat dikenakan termasuk denda maksimum RM10 juta dan penjara mandatori lima tahun.
“Kegiatan pemprosesan dan pelupusan e-waste secara haram ini perlu dibanteras bagi mengelak pencemaran alam sekitar,” katanya selepas merasmikan Seminar On Environmental Management and Compliance 2025 di Kepala Batas, Alor Setar.
Seminar anjuran JAS Kedah bersama Kelab Alam Sekitar Kedah (KASKED) itu dihadiri 430 peserta termasuk pemain industri dari seluruh negara.
Tambah beliau, isu seperti pencemaran udara, air dan tanah, pelepasan gas rumah hijau, serta pengurusan sisa yang tidak sempurna memberi impak besar terhadap alam sekitar.
Sharifah Zakiah menekankan, pengurusan alam sekitar yang berkesan memerlukan penglibatan menyeluruh daripada kerajaan, industri, NGO, institusi pendidikan dan individu perseorangan.
“Isu perubahan iklim yang semakin ekstrem dan bencana alam yang tidak dijangka perlu diurus dengan tadbir urus yang inklusif, telus dan berkesan,” katanya lagi.