KUALA LUMPUR, 27 Mei- Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak menunaikan ibadah haji tanpa visa haji yang sah bagi mengelak sebarang kesulitan kepada jemaah haji pada masa hadapan.
Peringatan itu susulan pengusiran 63 rakyat Malaysia dari Mekah ke Jeddah sejak 29 April lalu kerana tidak memiliki visa haji yang sah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan tindakan sebegitu bukan sahaja melanggar peraturan ditetapkan Kerajaan Arab Saudi, malah boleh menjejaskan kuota rasmi negara dan membawa kepada risiko penggantungan visa.
“Saya telah beri amaran sebelum ini, jangan kerana kedegilan kita melanggar peraturan yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi, akhirnya jemaah-jemaah kita yang akan datang pula yang menanggung akibat.
"Kalau anda semua ingat, 14 negara pernah digam oleh Kerajaan Arab Saudi sebab pelanggaran rakyat mereka. Akibatnya, visa lawatan umrah juga tidak lagi dibenarkan untuk 14 negara itu,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pavilion al-Falah dan melancarkan 22 buku baharu terbitan agensi di bawah kementeriannya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, di ibu negara hari ini.
Datuk Dr. Mohd Na’im turut mengingatkan supaya garis panduan dan peraturan yang ditetapkan sentiasa dipatuhi bagi menjaga nama baik negara dan memastikan kelangsungan peluang menunaikan rukun Islam kelima secara sah dan teratur.
Dalam pada itu, Tabung Haji (TH) setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu terbabit daripada mana-mana individu yang terkesan.
Terdahulu, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah mengesahkan pengusiran 63 rakyat Malaysia yang dikesan berada di tanah suci tanpa visa haji yang sah.