PUTRAJAYA, 7 Mac- Kira-kira 30 pasar raya besar di seluruh negara telah menyertai inisiatif Payung Rahmah sejak dilancarkan Januari lalu.
Menerusi inisiatif Payung Rahmah, golongan B40 dapat berjimat sehingga RM24.00 apabila membeli 12 jenis barangan asas di pasar raya yang menyertai inisiatif itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penyertaan menggalakkan daripada pemain industri membantu menangani masalah beban kos sara hidup golongan B40 dan miskin tegar.
(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,
Datuk Seri Salahuddin Ayub)
"Hampir semua pasar raya besar seperti Mydin, Econsave Lotus, Aeon, NSK, 99 Speedmart dan banyak lagi", katanya kepada media selepas melancarkan program Rahmah Raya AEON Co (M) Bhd.
Mengenai inisiatif Menu Rahmah pula, Datuk Seri Salahuddin melahirkan penghargaan kepada pengusaha gerai dan restoran yang mengekalkan kualiti hidangan makanan walaupun dijual pada harga RM5.00 ke bawah.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga memberi jaminan bekalan barang kawalan khususnya ayam dan telur mencukupi bagi menampung permintaan tinggi menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memastikan bekalan barang kawalan itu mencukupi.
"Setakat ini, minggu lalu, data-data daripada Kementerian Pertanian menunjukkan kita bersedia untuk ke arah mencukupkan bekalan menjelang Hari Raya.
"Bekalan ini turun naik, jadi saya rasa bekalan ayam itu stabil dan kita kena pastikan agar telur juga akan cukup menjelang Hari Raya", katanya.