KUALA LUMPUR, 7 Mac- Tahap perpaduan di Malaysia sederhana dan terkawal.
Menurut Kajian Indeks Perpaduan Kaum Kebangsaan (IPNas), tahap integrasi sosial negara pada 2022 mencecah 0.629, iaitu lebih tinggi berbanding 2018.
Demikian dinyatakan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam Program Naratif Khas di TV1 malam tadi.
"Indeks Perpaduan terkini adalah naik sedikit daripada 2018. Kalau 2018, 0.57 seperti itu, sekarang kita di angka 0.629 iaitu tahap sederhana dan terkawal.
(Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang)
"Jadi, perpaduan di negara ini terkawal. Elemen yang dikaji dalam hal itu adalah sangat kompleks. Kadangkala saya pun sukar hendak memahami semuanya.
"Kementerian Perpaduan Negara bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan kajian. Kajian akan datang pada 2024, dua tahun akan dari sekarang, kita akan buat kajian lagi", katanya.
Katanya, kementeriannya mengadakan banyak program yang mampu memperkukuhkan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Dalam semarak perpaduan Malaysia Madani ini, kita mengadakan pelbagai program. Pertama adalah jati diri yang dikatakan dalam semarak kenegaraan. Kita rasa kita milik negara ini.
"Kedua, adalah semarak perpaduan. Dalam semarak perpaduan ini kita mengadakan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua etnik, semua agama untuk datang bersama mengadakan pelbagai aktiviti yang dapat menyemarakkan dalam kalangan semua bangsa dan agama", katanya.
Tambah beliau, Rukun Tetangga turut berperanan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri dari pelbagai aspek kehidupan seperti latar belakang sejarah, bahasa, budaya dan agama.