PUTRAJAYA, 22 Mei- Seramai 591 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan tahun lalu.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman, 51 orang telah dikenakan tindakan tatatertib, 28 orang ditahan kerja dan 14 orang digantung kerja, selain 498 orang membuat rayuan tatatertib.
Jelasnya, kesalahan yang sering dilakukan adalah gagal hadir bertugas.
"Kesalahan yang dikesan paling ramai adalah melibatkan kegagalan untuk hadir bertugas atau ponteng. Ada kes yang satu hari, dua hari, tujuh hari dan berpuluh hari juga ada. Jadi, perkara seperti ini tidak wajib atau tidak patut berlaku dalam perkhidmatan awam.
Kita telah pun dibekalkan dengan tatakelola untuk kita hadir bertugas. Maka, saya menyeru patuhilah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan," kata Zainal kepada media pada Majlis SPA bersama media, di sini.
(Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman ditemui media di Putrajaya, hari ini)
Jelasnya, penjawat awam tidak akan terlepas dari hukuman jika melanggar peraturan dan SPA akan bertindak selepas kes dibawa oleh ketua jabatan atau lembaga tatatertib setiap kementerian dan jabatan.
Tahun lalu, seramai 83 orang dikenakan tindakan tatatertib, 39 orang ditahan kerja, 10 orang digantung kerja manakala rayuan tatatertib membabitkan 314 orang.