fb fb fb fb fb

Patuhi garis panduan JAKIM dalam penganjuran acara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menyempurnakan Majlis Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HISDAM) 2025, di Putrajaya/Foto FB Dato' Setia Dr. Naim

PUTRAJAYA, 14 Ogos - Setiap program yang dianjurkan perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), bagi memelihara tuntutan syarak, nilai moral, dan adab masyarakat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, tindakan segelintir individu lelaki berpakaian seperti wanita dalam pertunjukan fesyen di ibu negara baru-baru ini jelas bertentangan dengan prinsip Islam dan norma budaya tempatan.

"Dalam konteks agensi agama, kita sentiasa menerapkan kefungsian lelaki sebagai qawwam, iaitu pemimpin, jadi kita nak menerapkan nilai yang ada dalam al-Quran dalam kalangan lelaki di Malaysia.

"Tapi kalau ada pendekatan yang dibawa dalam fesyen yang cuba menyerupai wanita, dengan lenggang-lenggok dan keperempuanan, ia bertentangan dengan nilai qawwam yang kita nak terapkan," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HISDAM) 2025, di sini.

Tambah beliau, JAKIM telah menetapkan garis panduan yang komprehensif untuk penganjuran sebarang acara hiburan, seni dan fesyen di negara ini serta sentiasa mengadakan libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan garis panduan itu difahami, dihayati dan dipatuhi secara menyeluruh oleh penganjur acara.

Isu sebuah pertunjukan fesyen di ibu negara itu mengundang reaksi tidak setuju para netizen terhadap penampilan yang dianggap melampau serta tidak selaras dengan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI