fb fb fb fb fb

PATI bayar RM6,000 hingga RM7,000 untuk masuk Malaysia

KOTA BHARU, 8 Mac- Cubaan tiga lelaki yang menjadi penghantar 'transporter' dengan menerima upah RM150 hingga RM250 untuk menyeludup 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) menjerat diri apabila ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Gelombang DUA, awal pagi tadi

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan itu dilakukan di sekitar kawasan Jeli dan Gua Musang, Kelantan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, dan dibantu oleh JIM Negeri Kelantan.


(Kereta yang digunakan sebagai penghantar 'transporter' PATI)

Menurut beliau, hasil siasatan, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 39 hingga 60 tahun itu bertindak sebagai penghantar 'transporter' bagi kemasukan 12 lelaki dan 3 perempuan PATI warganegara Indonesia

Dalam pada itu jelas beliau, modus operandi sindiket terbabit adalah dipercayai masuk melalui udara ke Thailand daripada Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia-Thailand Sungai Golok sebelumdipindahkan dengan tiga buah kenderaan ke rumah penampungan.

Kesemua migran berusia antara 24 hingga 54 tahun itu, terbabit akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah di mana PATI wanita dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

Beliau menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, hasil siasatan mendapati, sindiket yang dipercayai aktif sejak Mei tahun lalu itu mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke negara ini.

Berdasarkan anggaran seramai 160 PATI sebulan yang dibawa masuk oleh sindiket terbabit dan kerajaan mengalami kerugian dengan anggaran RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

Tiga orang lelaki tempatan terbabit, akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.

Manakala, kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Media Baharu