fb fb fb fb fb

Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan di tubuh 13 Mei lalu

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Sebuah pasukan petugas khas bebas iaitu Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan atau Healthcare Work Culture Improvement Task Force (HWCITF) telah ditubuhkan secara rasmi pada 13 Mei 2022.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin dalam satu kenyataan.

Selain daripada insiden melibatkan kematian seorang Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang, terdapat juga laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi.

Ini bukan sahaja oleh PPS, malahan kakitangan perkhidmatan kesihatan semasa melaksanakan perkhidmatan mereka.

Mengambil kira kepentingan perkhidmatan kesihatan oleh KKM kepada negara dan pembangunan modal insan, skop dan terma Pasukan Petugas Khas ini akan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan yang berkualiti serta profesional.

Pasukan Petugas Khas ini adalah sebuah badan bebas yang keanggotaannya dinilai dan ditentukan oleh Khairy selaku Menteri Kesihatan.

Ia antara lain bertujuan dan berperanan untuk:

1. Membuat analisa dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan PPS, secara khusus.

Ia merangkumi aspek masa dan beban kerja, saluran aduan, kepimpinan, bimbingan dan latihan, penilaian prestasi, penyampaian perkhidmatan, serta peluang kerjaya;​

2. Menganalisa maklumat dan hasil siasatan insiden kematian PPS di Hospital Pulau Pinang;

3. Memanggil dan mendapatkan penerangan tentang budaya kerja serta proses pengurusan sumber manusia bagi perkhidmatan kesihatan secara umum, dan PPS secara khusus.

Ia akan melibatkan sesi taklimat dan libat urus bersama bahagian di KKM yang berkaitan, kakitangan KKM, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta mana-mana pihak atau individu berdasarkan keperluan;

4. Mencadangkan lantikan pihak perunding berkaitan kepada KKM bagi tujuan menyokong fungsi dan peranan HWCITF jika perlu;

5. Menjalankan kaji selidik dan analisa yang berkaitan

dan;

6. Menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan, secara umum dan PPS, secara khusus untuk dibentangkan kepada Menteri Kesihatan dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh penubuhan.

Pasukan Petugas Khas ini akan dipengerusikan oleh mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Professor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Binti Tapsir.

Selain itu, ia juga akan dianggotai kumpulan pakar yang terdiri daripada lapan lapan individu yang profesional dan pakar dalam bidang masing-masing. - BERNAMA

Media Baharu