fb fb fb fb fb

Pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan selamat - Khaled

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 berada dalam keadaan selamat dan diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik, demikian dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) juga telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal selain mengambil kira keselamatan petugas.

"Tahap keselamatan semasa pasukan MALBATT 850-11 adalah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan aset di kawasan yang dijaga dan dikawal oleh pasukan kita sepanjang tempoh perang antara Hizbullah dan Israel.

"Kesemua pasukan bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.

"Mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukanan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkenaan situasi keselamatan Pasukan MALBATT 850-11 dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) UNIFIL di Lubnan.

Bagaimanapun Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di selatan Lubnan dan akan mengemaskini sebarang perkembangan melibatkan pasukan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI