fb fb fb fb fb

Bomba pantau fenomena air pasang besar

SABAK BERNAM, 17 Oktober - Terdapat beberapa kawasan persisiran pantai di Selangor berlaku limpahan air yang lebih banyak pagi tadi berbanding semalam, akibat paras air laut meningkat agak tinggi dan ombak kuat.

Namun semua kunci air dalam keadaan terkawal. 

Ketua Bomba Zon 7, Kuala Selangor dan Sabak Bernam Samsol Maarif Saibani berkata, paras air laut yang berada pada ketinggian 5.7 meter kira-kira pukul 5.00 pagi tadi juga tidak mengakibatkan kejadian banjir serius. 

Menurutnya, seramai 50 anggota melibatkan enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah diarahkan memantau di lebih 20 kawasan berisiko banjir.

Ia berikutan fenomena air pasang besar melibatkan daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam. 

BBP terlibat termasuk BBP Bestari Jaya, BBP Kuala Selangor, BBP Tanjong Karang, BBP Sekinchan, BBP Sungai Besar dan BBP Sabak Bernam. 

"Setakat ini pihak bomba memang bersiap siaga 24 jam dan pihak bomba membuat rondaan tiga jam sekali, bermula pada pukul 3.00 pagi. Rondaan dibuat sewaktu fenomena air pasang besar. Sementara pada waktu siang, kita akan membuat rondaan dari semasa ke semasa ke kawasan-kawasan berisiko tinggi. Ini kerana, di sebelah petang, keadaan (paras air) boleh melimpahi kawasan ban ataupun memasuki kawasan kampung yang berisiko tinggi."

Beliau yang ditemui RTM turut memaklumkan, antara kawasan yang berisiko berlaku banjir adalah, Pasir Penambang di Kuala Selangor, Sungai Kajang di Tanjong Karang, serta Pantai Seri Sentosa dan Pantai Redang di Sekinchan.

Manakala Bagan Sungai Besar serta seluruh pantai dan kawasan Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam turut berisiko mengalami limpahan air.

Persisir pantai Barat Selangor iaitu di Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam pemerhatian dan persediaan peringkat tinggi.

Ia sebagai langkah siap sedia menghadapi fenomena air pasang besar yang membawa risiko banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat yang diramalkan berlaku bermula hari ini sehingga Ahad.

Trainee