KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Tiada bukti kukuh yang mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik, terlibat atau bersubahat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), setakat ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen menyebut, bagaimanapun kementerian itu tidak menolak sebarang kemungkinan, kerana siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih diteruskan daripada pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang.
Menurut KDN, pihak kementerian tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung perkara berkenaan pada masa ini.
KDN memaklumkan bahawa pihak PDRM harus diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi, memandangkan siasatan dan operasi yang dijalankan PDRM masih berjalan bagi menjejak saki baki pengikut kelompok itu.
“PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara."
"Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol,” menurut KDN.
Kenyataan itu bagi menjawab soalan wakil Kepong, Lim Lip Eng.