fb fb fb fb fb

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi kekang isu kos sara hidup - PM

PUTRAJAYA, 29 Jun - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan ditubuhkan bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, pasukan itu berperanan mengumpulkan maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi dan koordinasi tindakan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi.

Ia bagi mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Mesyuarat akan berlangsung dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis dan sidang media akan diadakan selepas itu bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu yang dibangkitkan Keluarga Malaysia.

 (Foto fail)

"Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api," kata beliau dalam kenyataan tersebut petang ini.

Pasukan Khas tersebut akan dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Ia turut dianggotai oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan untuk memberi maklum balas segera kepada pasukan khas itu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku urus setianya. 

Tegas Perdana Menteri, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia.

Media Baharu