fb fb fb fb fb

Harga ayam tidak diapungkan, RM9.40 sekilogram bermula 1 Julai ini

(Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee)

PUTRAJAYA, 29 Jun- Harga ayam tidak akan diapungkan sebaliknya kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia.

Keputusan dibuat hasil Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang turut bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen/biji bagi gred A, gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menerusi satu kenyataan, penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022.

Tambahnya menerusi pelaksanaan subsidi itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari 2022.


(Foto fail)

“Keputusan itu telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

“Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2600 tahun ini. Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan,” kata kenyataan itu.

Ronald turut menegaskan bahawa isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

Media Baharu