fb fb fb fb fb

LPP import 4,536 metrik tan ayam dari Thailand, jadi stok pengimbal

PELABUHAN KLANG, 29 Jun- Inisiatif pelaksanaan stok pengimbal ayam oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dijangka mampu menampung 20% bekalan dalam negara menerusi pengimportan 4,536 metrik tan sumber protein berkenaan secara berperingkat dari Thailand, sehingga hujung Julai depan.

Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim berkata pengimportan bekalan ayam itu bertujuan menjadi stok pengimbal dalam mengimbangi sebarang ketidakstabilan atau kenaikan harga sekiranya ada kawasan yang dilaporkan berlaku kekurangan bekalan sumber protein di seluruh negara.

Beliau berkata peruntukan RM50 juta telah diluluskan Kabinet bagi pelaksanaan program berkenaan.

“Kesemuanya stok ayam yang masuk ke dalam negara melalui program ini juga telah disahkan dari segi kualiti oleh Jabatan Veterinar Malaysia dan diakui persijilan halalnya,” katanya selepas meninjau bilik sejuk Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor, hari ini.

Menurutnya permulaan enam kontena dengan setiap satunya berisi 20 hingga 21 metrik tan ayam, diimport dari pengeluar ayam di Thailand oleh PPN Selangor dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Azulita berkata selain PPN Selangor, PPN Johor juga akan mengimport ayam sebanyak tiga kontena dan PPN Perak sebanyak lima kontena dalam masa terdekat.

"Seekor ayam diimport ini mempunyai berat antara 1.7 hingga 2 kilogram (kg) yang memenuhi kehendak berat pasaran ayam tempatan pada kadar 1.8 kg," katanya.

Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim (kanan) melihat stok ayam bulat import yang
disimpan di dalam bilik sejuk ketika mengadakan tinjauan ke kilang pemprosesan
ayam Pertubuhan Peladang Negeri Selangor untuk stok pengimbal ayam 
FOTO BERNAMA

Mengulas berhubung tahap pengeluaran ayam yang dikendalikan agensinya bagi mengurangkan kebergantungan import, beliau menegaskan pengeluaran ternakan ayam pihaknya ketika ini berjumlah kira-kira 1.8 hingga 2 juta metrik tan.

"Kita memang sangat menyokong keputusan kerajaan supaya (LPP) dapat mengeluar sendiri ayam. Kita mungkin agak terhad dari segi peruntukan, namun usaha ini sedang dilaksanakan secara berterusan supaya kita dapat bantu (meningkatkan) bekalan ayam (dalam negara),” katanya. -BERNAMA

Media Baharu