fb fb fb fb fb

Pasukan bencana Istana Negara bantu mangsa banjir di Jerantut, Pahang

FOTO: ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR, 11 Januari - Pasukan Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada penduduk terjejas banjir.

Kali ini melibatkan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai kepada 41 keluarga di Kampung Yong dan Kampung Atok, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Istana Negara menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, misi bantuan berkenaan turut melibatkan penyertaan sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TM-ROVers).

Misi bantuan diketuai Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara, Brigadier Jeneral Datuk Zahari Yahya yang juga Juruiring Tentera Udara kepada Seri Paduka Baginda dan turut disertai Juruiring Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Sharizan Wan Chik.

"Para sukarelawan Pasukan Bencana Istana Negara dan TMROVers juga menempuhi perjalanan selama 30 minit menaiki bot dari jeti Kuala Tahan ke Kampung Yong dan Kampung Atok," menurut kenyataan itu.

Kerjasama antara Pasukan Bencana Istana Negara dengan TMROVers adalah atas perkenan dan cetusan idea Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Seri Paduka Baginda telah menzahirkan hasrat agar Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir," menurut kenyataan itu.

Media Baharu