fb fb fb fb fb

Pasaran harta tanah negara catat lebih 100,000 transaksi suku ketiga, permintaan stabil

Siaran langsung Pasaran Harta Tanah Suku Ketiga Tahun 2025 Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 14 November - Pasaran harta tanah negara mencatatkan 108,250 transaksi bagi suku ketiga 2025 dengan nilai RM64.39 bilion sekali gus merekodkan peningkatan 12.5 peratus nilai keseluruhan.

Ia menandakan permintaan kekal stabil terutama dalam lingkungan harga mampu milik dan bagi tempoh tersebut, sektor kediaman terus mendominasi pasaran, merangkumi 60 peratus jumlah transaksi, iaitu lebih 66,000 unit bernilai hampir RM29 bilion.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Abdul Razak Yusak berkata, kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah kekal menjadi pilihan utama rakyat, merangkumi lebih separuh jualan keseluruhan.

"Manakala, aktiviti pembinaan menunjukkan momentum positif.Unit siap dibina bagi subsektor kediaman dan pangsapuri khidmat meningkat ketara, masing-masing 13.2 peratus dan 4.4 peratus kepada 26,872 dan 11,656 unit berbanding tempoh yang sama tahun 2024," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung Pasaran Harta Tanah Suku Ketiga Tahun 2025 Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan menerusi Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa lebih 100 peratus peningkatan turut direkodkan bagi unit kedai dan kedai berstrata. Namun, bagi unit mula dibina, kediaman mencatatkan penyusutan 30 peratus, manakala pembangunan baharu yang dirancang turut menurun 21.6 peratus.

Manakala pelancaran projek baharu mencatat prestasi sederhana melibatkan 11,533 unit, merekodkan prestasi jualan sekitar 14 peratus, mencerminkan sentimen berhati-hati di kalangan pemaju.

"Sementara itu, unit siap dibina tidak terjual di seluruh negara meningkat kepada 28,672 unit bernilai RM17.25 bilion, peningkatan 6.5 peratus dari segi bilangan dan 4.9 peratus dari segi nilai.

"Pangsapuri khidmat berharga RM500,000 hingga RM1 juta mewakili lebih 70 peratus unit tidak terjual, kebanyakannya merupakan projek yang dilancarkan 5 hingga 10 tahun lalu," ujarnya lagi.

Data awal Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) berada pada 229.1 mata, pertumbuhan tahunan 0.1 peratus, dengan harga purata rumah nasional kini pada RM494,384 seunit.

Di sebalik perkembangan pasaran harta tanah yang perlahan, sokongan penuh kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI dijangka akan merangsang permintaan dan mengekalkan kestabilan pasaran bagi harta tanah.

Melalui Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI terus memperkukuh komitmen dalam melaksanakan projek pemangkin strategik untuk merancakkan pertumbuhan pasaran harta tanah, khususnya dalam segmen harta tanah kediaman.

Inisiatif itu termasuk Program Residensi Rakyat (PRR), Residensi Madani, Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan PR1MA dan pembangunan infrastruktur yang strategik, yang disasarkan untuk memacu kerancakan aktiviti pembinaan dalam negara.

Pemain industri harta tanah juga perlu mengambil peluang daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan penambahbaikan program Malaysia My Second Home (MM2H) yang mampu meningkatkan permintaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI