fb fb fb fb fb

MTL : Kelantan, Terengganu diramal negeri terawal dilanda banjir

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November - Kelantan dan Terengganu diramal menjadi negeri terawal dilanda banjir susulan permulaan Monsun Timur Laut yang bermula semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi, Ambun Dindang berkata, ramalan itu adalah berdasarkan purata taburan hujan di negeri-negeri Pantai Timur secara semula jadi sangat tinggi pada November dan Disember.

Beliau berkata, hujan lebat dalam tempoh singkat tetap berpotensi mencetuskan banjir kilat dan banjir termenung di kawasan rendah.

"Jadi permulaan monsun ini yang biasa negeri yang biasa terkesan dahulu ialah Kelantan, Terengganu dalam bulan November hingga Disember dan beralih ke selatan dalam bulan Disember hingga Januari.

"Bulan Januari hingga Februari tahun hadapan, biasanya monsun sudah berada di negeri-negeri di Sabah dan Sarawak dan kalau ada pun kemungkinan sedikit di selatan Johor yang akan terkesan. Tetapi itu akan kita pantau dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, pada Jumaat.

Ambun berkata, jumlah hujan bulanan bagi kebanyakan negeri di Semenanjung dan Sarawak berada pada paras purata, namun Sabah diramal menerima hujan sedikit melebihi purata antara November hingga Februari tahun hadapan.

Keadaan itu dipengaruhi faktor La Nina, yang meningkatkan taburan hujan terutama di Sabah sepanjang tempoh tersebut dan orang ramai diingatkan walapun hujan diramal berada pada paras purata tetapi risiko berlaku banjir tetap tinggi.

Katanya, pemantauan cuaca negara menggunakan teknologi setaraf negara maju, melibatkan lebih 800 stesen pencerapan cuaca, 19 stesen radar cuaca, dan penerimaan data daripada tiga satelit cuaca yang dikemas kini setiap 10 minit.

Maklumat cuaca dan amaran awal disalurkan melalui pelbagai platform termasuk laman web rasmi, Facebook, Instagram, X serta aplikasi mudah alih MyCuaca, selain siaran berkala di TV1 dua kali sehari.

Beliau menasihatkan orang ramai, terutamanya di negeri Pantai Timur, supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca terkini dan membuat persiapan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang fasa Monsun Timur Laut tahun ini.

Mengulas mengenai keadaan taufan Fung-wong yang melanda Filipina dan Vietnam pada awal November ini, beliau berkata taufan itu tidak memberikan kesan secara langsung kepada Malaysia, namun Sabah menerima sedikit tempias dengan mengakibatkan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.

1411 NSL SPM MONSUN TIMUR LAUT12Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi, Ambun Dindang

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE