KANGAR, 14 November - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan lima amanat utama sebagai panduan buat seluruh warga Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi memastikan institusi penganjian itu terus maju berteraskan kebenaran, ilmu dan keikhlasan serta sentiasa berada dalam lindungan dan keberkatan Allah SWT.
Titah baginda, amanat pertama ialah menjadikan penghayatan sunnah sebagai teras segala gerak universiti, diikuti keduany melahirkan insan berilmu, berakhlak dan berada.
Manakala amanat ketiga menjadikan UniSIRAJ sebagai institusi rujukan Islam pelbagai disiplin ilmu.
Amanat keempat pula ialah memperkukuh penyelidikan dan inovasi berteraskan nilai Islam dan kelimanya memperkukuh peranan UniSIRAJ dalam pembinaan tamadun serta kemanusiaan sejagat.
"Lima amanat ini hendaklah dijadikan panduan dan pedoman dalam seluruh perjalanan universiti ini. Apabila ketiga-tiga asas ini bersatu iaitu sunnah, ilmu dan amanah maka akan lahirlah generasi yang bukan sahaja cemerlang ilmunya, tetapi juga luhur akhlaknya.
"Dengan izin dan inayah Allah SWT, UniSIRAJ akan terus tumbuh sebagai mercu ilmu, pusat hikmah dan cahaya tamadun baharu bagi negeri Perlis, tempat 'Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan'," titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika memasyhurkan UniSIRAJ sebagai mercu ilmu dan cahaya baharu Perlis di Dewan 2020 di Kangar.
Terdahulu pada majlis pemasyhuran UniSIRAJ, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle diisytiharkan sebagai Naib Canselor pertama universiti tersebut dimana beliau sebelum ini merupakan Rektor KUIPs.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Canselor UniSIRAJ dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.