fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 2 Mac- Harga minyak yang terus kekal bergerak dalam julat yang sempit mendorong pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, kata seorang peniaga.

Para pelabur turut dilihat menimbang prospek pemulihan kukuh dalam permintaan China berbanding kemungkinan kenaikan kadar faedah dan peningkatan inflasi yang boleh menyekat aktiviti ekonomi tahun ini, tambah peniaga itu.

“Namun begitu, kerugian selanjutnya dihadkan oleh keuntungan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau sebagai reaksi kepada pemulihan ekonomi yang kukuh di China (berdasarkan data bulan Februari),” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent penanda aras global meningkat 0.12 peratus kepada US$84.41 setong.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 2.5 sen kepada 623.5 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal menambah dua sen kepada 545 sen sekg.

Pada 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 ialah 627 sen sekg sementara lateks pukal pada 547.5 sen seg. -BERNAMA

(Pasaran getah ditutup bercampur-campur)

Media Baharu