KUCHING, 29 Mac- Suasana menjelang Aidilfitri semakin meriah dengan kehadiran orang ramai di pusat beli-belah dan pasar tamu, yang giat membuat persiapan akhir bagi menyambut perayaan yang bakal tiba dalam beberapa hari lagi.
Tinjauan kru RTM di Pasar Tamu Medan Niaga Satok mendapati ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk membeli barangan basah seperti ayam dan daging, terutamanya pada saat-saat akhir menjelang perayaan.
Bagi seorang pengunjung, Izzam dari Sadong Jaya, Aidilfitri kali ini amat dinanti-nantikan kerana beliau berpeluang meraikannya bersama keluarga besar, baik di kampung mahupun di bandar.
“Saya memang selalu datang ke pasar tamu ini setiap tahun untuk persiapan Aidilfitri kerana harga barangan di sini lebih berpatutan,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun harga barangan meningkat sejajar dengan keadaan ekonomi semasa, ia masih berada dalam kadar yang boleh diterima.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Jamilah Hipni dari Bintawa Hilir, berkata sambutan Aidilfitri tahun ini lebih sederhana berikutan kenaikan harga barang. Namun, beliau bersyukur kerana dapat mendapatkan bahan mentah dengan harga yang lebih murah di pasar tamu berkenaan.
Rata-rata masyarakat setempat memilih untuk membeli barangan basah dan bahan mentah di pasar tamu kerana harga yang lebih kompetitif berbanding tempat lain, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan menjelang perayaan.