fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Aliran trafik LPT2 meningkat 150 peratus

FOTO RTM

KUALA TERENGGANU, 29 Mac- Lebih 55,000 kenderaan telah menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sejak semalam, mencatat peningkatan 150 peratus berikutan perantau mula pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Pengurus Wilayah LPT2, Mohamad Pazli Kasim berkata aliran trafik di kesemua arah menuju ke utara Terengganu meningkat dan jumlah kenderaan dijangka mencecah 70,000 menjelang lewat malam ini.

"Trafik dilaporkan perlahan di beberapa lokasi utama termasuk dari Cukai ke Kerteh, Kerteh ke Dungun, Paka ke Bukit Besi serta Ajil ke Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi RTM.

Bagi mengurangkan kesesakan, pihaknya telah membuka lorong tambahan di Tol Kuala Terengganu dekat Bukit Gemuruh serta menambah kaunter Touch ‘n Go (TnG) mudah alih.

Sementara itu, tinjauan RTM di Plaza Tol Kuala Terengganu mendapati aliran trafik sangat perlahan susulan pertambahan ketara jumlah kenderaan.

Seorang pengguna, Khairul Azwan Japilos berkata dia dan seorang lagi penumpang mengambil masa kira-kira 13 jam untuk tiba di Kuala Terengganu dari Bangi selepas mengalami kesesakan di sepanjang perjalanan.

"Saya keluar dari Bangi, jalan sudah sesak rapat hingga ke sini. Tak tahu berapa kali terpaksa berhenti. Saya bertolak dari Bangi sebelum berbuka, sampai Wangsa Maju pukul 11.00 malam, dan tiba di sini (Plaza Tol Kuala Terengganu) selepas 13 jam perjalanan," katanya.

Seorang lagi pengguna, Ruzainu Che Mat, yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Krai berkata, perjalanannya mengambil masa lebih lapan jam untuk tiba di Kuala Terengganu dan dia kini bersedia menghadapi kemungkinan kesesakan di laluan seterusnya.

"Saya bertolak dari Johor Bahru pukul 5.30 pagi dan tiba di Kuala Terengganu sekitar 1.30 tengah hari, mengambil masa kira-kira tujuh hingga lapan jam perjalanan. Cuaca juga panas terik," katanya.

SITI AISHAH MD ISA