BALING, 28 Mac- "Tiada sebarang persiapan Aidilfitri, hanya doa kami pohon agar Fayyad segera ditemui," luah Aziz Saad, datuk kepada Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, kanak-kanak autistik yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Menurut Aziz, 60, mereka sekeluarga masih buntu dan berusaha mencari cucunya yang keluar dari rumah di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kampung Landak Paya, Kupang pada Jumaat lalu.
Jelas Aziz, meskipun baju raya cucunya telah dibeli, kegelisahan menyelubungi keluarga mereka sejak kehilangan Muhammad Fayyad yang disedari melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Ketika kejadian saya bersiap untuk solat Jumaat, tiba-tiba sedar dia tiada. Kami cari dalam rumah, belakang pintu, takut dia menyorok, tapi tak jumpa.
"Bila lihat CCTV, nampak dia keluar dari rumah. Kami terus cari merata tempat dan buat laporan polis," katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.
Aziz berkata, dia bersama keluarga dan penduduk kampung turut mengadakan solat hajat selain terus berusaha mencari Muhammad Fayyad di sekitar kawasan kuarters yang terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Kupang.
Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak itu memakai baju biru tua dan seluar biru muda, keluar tanpa membawa botol susunya, serta hanya memegang sebiji buah.