KUALA LUMPUR, 18 Januari - Pengguna pengangkutan awam menyambut baik inisiatif pembaharuan Pas My50 tanpa had menggunakan aplikasi e-dompet, yang dilihat mampu melancarkan perjalanan harian dan mengurangkan kesesakan di kaunter Transit Aliran Ringan (LRT).
Seorang pengguna, Noor Madihah Mat Hussin, ketika ditemui Berita RTM, berkata langkah ini memudahkan urusan harian terutama bagi mereka yang terpaksa bergegas ke tempat kerja.
"Memudahkan sebab tak perlu beratur panjang kat kaunter. Kalau pagi-pagi kita bergegas nak pergi kerja, tiba-tiba kena diperbaharui, jadi lambatlah sikit. Alternatif ini sangat bagus," katanya.
Nur Hikmah Zakaria turut berkongsi pandangan serupa, menyatakan pembaharuan melalui aplikasi lebih praktikal.
"Bagi saya ini sangat memudahkanlah sebab sebelum ini kalau saya nak ke KL naik komuter, memang beli secara dalam, tak perlu beratur terus guna komuter," katanya.
Bagi Sendracipta Ramlan, inisiatif ini lebih efektif dalam meningkatkan pengalaman menggunakan pengangkutan awam.
"Benda tu lagi baguslah, tak perlu beratur sebagainya. Pendapat saya, benda tu lagi efektiflah untuk memudahkan pengangkutan awam" ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengumumkan bahawa bermula Mei 2025, Pas My50 boleh diperbaharui menggunakan aplikasi e-dompet.
Langkah ini bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter, terutamanya di stesen LRT Pasar Seni dan LRT Abdullah Hukum.