KUALA LUMPUR, 18 Januari- Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menzalimi bakal haji melalui tawaran haji tahun ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tuduhan di media sosial yang tular sebelum ini adalah tidak benar.
Sebaliknya, TH telah menerima dan mengkategorikan semula lebih 700 golongan M40 seperti suri rumah, pelajar dan warga emas kepada golongan B40 setelah menerima rayuan berserta bukti mereka dari golongan tersebut.
"Sejak 2022, semua maklumat bakal haji telah disemak dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20.
Kesemua bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah termasuk dalam kumpulan B40 manakala bagi mereka yang mempunyai pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan, adalah termasuk dalam kumpulan T20," kata kenyataan itu.
Tambah TH, bakal jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan sebagai M40.
Bagaimanapun, TH telah dan masih menerima permohonan rayuan menukar kategori tawaran.
TH memandang serius terhadap semua tuduhan yang mampu memburukkan reputasi serta keresahan umat islam dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.