fb fb fb fb fb

MOTAC kaji wajibkan pengendali umrah sedia jaminan bank RM250,000

Hari ini seramai 135 mangsa telah tampil mengadu mengenai pengendali yang gagal menguruskan perjalanan umrah mereka di Putrajaya/Foto MOTAC

KUALA LUMPUR, 18 Januari - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti pelaksanaan syarat baharu yang mewajibkan syarikat pengendali pelancongan luar negara, khususnya bagi Umrah dan Ziarah, menyediakan Jaminan Bank minimum RM250,000.

MOTAC dalam kenyataannya berkata, inisiatif itu bertujuan melindungi kepentingan jemaah umrah dan menangani isu penipuan pengguna yang semakin membimbangkan.

"Ini adalah berdasarkan kepada keadaan di mana kes penipuan pengguna semakin serius dan sering berlaku.

"Untuk syarikat pengendali berskala besar, jumlah Jaminan Bank akan dinaikkan mengikut saiz operasi mereka.

"Misalnya apabila berlaku penipuan, dana dari Jaminan Bank ini akan digunakan untuk memberi pampasan kepada mangsa yang terjejas," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Tambahnya, MOTAC juga tidak akan teragak-agak membatalkan lesen pengendali serta-merta tanpa kompromi.

"Sesungguhnya MOTAC kecewa kerana meskipun tindakan telah diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi undang-undang sebelum ini, namun masih terdapat pengendali yang terus mengabaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Ujarnya lagi, sebelum ini, MOTAC telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan berkaitan seperti Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH) untuk mencari penyelesaian terbaik.

Kementerian menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap industri umrah.

"Kepercayaan terhadap industri umrah perlu dipertahankan, dan pengendali yang cuai tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi," jelas MOTAC.

Orang ramai diingatkan supaya memilih pengendali yang mematuhi peraturan demi memastikan perjalanan mereka berjalan lancar.

GRACE AISYAH KEDAYAN